BANDUNG BANDAR KREATIF (BAHAGIAN 2)

sambungan...



TANGKUBAN PERAHU

Bandung juga mempunyai kawasan pelancongan kategori semulajadi. Antaranya adalah Tangkuban Perahu. Tangkuban Perahu merupakan kawasan gunung berapi yang masih aktif. Kedudukannya terletak di kawasan tanah tinggi, lebih kurang 20km dari Kota Bandung. Persekitarannya dingin dan dikelilingi oleh pohon-pohon hijau. Di sini para peserta dapat menikmati pemandangan alam semulajadi yang menarik dengan suasana dingin yang nyaman seperti di Cameron Highland.




PASAR BARU DAN JALAN CIHAMPELAS

Pasar Baru dan Jalan Cihampelas merupakan destinasi pelancongan yang digemari pelancong. Pasar Baru Bandung amat terkenal kerana barang jualannya yang murah, terutama sekali kain-kain pasang dan telekung.


Jalan Cihampelas juga merupakan kawasan tumpuan pelancong membeli belah. Jalan ini sama keadaannya seperti Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur dimana sepanjang jalan terdapat kedai jualan baju dan aksesori pakaian. Uniknya di jalan ini, terdapat satu jejantas khas dipanggil yang dibangunkan oleh Walikota Bandung untuk menempatkan penggerai-penggerai kecil yang sebelum ini membanjiri kawasan pinggir Jalan Cihampelas. Disebabkan oleh peniaga-peniaga di tepi jalan ini tidak mahu berpindah dari kawasan Jalan Cihampelas, struktur Terrace ini dibina disebelah atas Jalan Cihampelas untuk menempatkan peniaga-peniaga tersebut. Dengan adanya struktur Terrace tersebut, keseakan lalulintas dapat dikurangkan dan peniaga-peniaga masih boleh berniaga di dalam kawasan yang sama.





KAMPUNG WISATA KREATIF DOGOK POJOK

Kampung Wisata Kreatif Dogok Pojok, terletak di Jalan Dago Pojok, Bandung Utara. Kawasan perkampungan ini agak jauh ke dalam dan peserta perlu berjalan kaki selama 5 ke 10 minit. Peserta semakin hampir ke kawasan Kampung Dago Pojok apabila kelihatan banyak lukisan mural di dinding-dinding rumah. Kampung ini pada asalnya merupakan sebuah kampung daif di dalam kawasan Bandung. Kepesatan pembangunan Kota Bandung telah menyebabkan masalah sosial turut menghimpit penduduk kampung. Atas dasar tidak mahu melihat anak muda kampung semakin ramai terlibat dengan masalah sosial, Bapak Rahmat Jabaril telah membangunkan kampung Dago Pojok ini dengan menggalakkan aktiviti kesenian di kalangan warga kampung. Antara aktiviti kreatif yang dibudayakan di kampung ini seperti seni lukis, aktiviti lukisan mural, melukis tshirt, membuat patung ukiran, aktiviti kesenian muzik dan tarian tradisi, dan berbagai lagi. 








Inisiatif ini telah menjadikan kampung ini semakin dikenali dan dikunjungi oleh pengunjung dari serata dunia. Inisiatif kreativiti yang diterapkan dalam pembangunan kampung ini menjadikannya turut termasuk di dalam jaringan UNESCO Creative City Network, yang mengiktiraf Bandung sebagai City of Design


JALAN BRAGA, BANDUNG

Jalan Braga merupakan salah satu jalan yang terkenal di Bandung, sejak dari zaman penjajahan Belanda di Indonesia. Bangunan di sepanjang jalan ini masih mengekalkan rekabentuk fasad zaman penjajahan Belanda. Jalan ini juga turut terkenal di kalangan pelukis dengan jualan hasil seni lukis yang menarik. Sepanjang jalan terdapat lukisan-lukisan yang dipamerkan untuk dijual. Selain itu, terdapat banyak kedai makan berupa kafe-kafe yang unik dan menarik.






Sekali imbas, Jalan Braga ini mempunyai keunikan dan kelasnya yang tersendiri jika dibandingkan dengan kawasan lain di Kota Bandung, sebagaimana sejarahnya yang terdahulu, sebagai tempat eksklusif tumpuan orang Belanda di zaman penjajahannya.



CAR FREE DAY JALAN DAGO

Acara Car Free Day Jalan Dago merupakan aktiviti hujung minggu di hari Ahad di Bandung. Tujuan aktiviti ini selain adalah untuk memberi ruang kepada penduduk tempatan beraktiviti bersama keluarga, berbasikal, dan beriadah seperti aerobik, bermain roller blade, dan sebaginya. Jalan Dago ditutup untuk program ini dari jam 7.00 pagi sehingga jam 11.00 tengahari. Penduduk tempatan akan berkumpul beramai-ramai untuk menjayakan aktiviti ini setiap minggu. 


Comments

Popular Posts